HOME ABOUT ME MY eSHOP MY SHOPEE FACEBOOK YOUTUBE RESEPI CONTACT US

Al-Fatihah | Puad B. Othman


- 9 Mac 2017 -

Innalillahi wainnailaihi ra'jiun.

Gambar tahun 2013 : Aku & Pak Long.

Al-Fatihah buat Puad B. Othman.

Arwah Paward @ Puad B. Othman yang Aku panggil Pak Long adalah adik beradik Emak.
Pak Long telah kembali ke rahmatullah lebih kurang pukul 11am pada 8 Mac 2017 - di rumah Kak Ani (Noraini Puad) di Batang Kali kerana sakit tua. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman.

*will be missing you  Pak Long*

_________________________________________________________________________________________

#throwback

Menggamit memori ketika Aku masih anak kecil..


Dulu.. setiap kali cuti sekolah Aku mesti balik kampung duduk dengan arwah Atuk & Nenek. Adakalanya diikuti sepupu sepapat yang lain. MERIAH! Pak Long pasti ada kerana Pak Long memang tinggal bersama dengan Atuk & Nenek. Sesekali Pak Long akan balik rumahnya yang tak jauh dari rumah Atuk & Nenek. Terseyum bila menggamit memori tu. Sangat-sangat indah. Dan yang indah itu adalah keakraban kami sebagai keluarga besar GOS.

Dari kecil sehingga la ke akhir hayat Pak Long, dia melayan Aku dan anak-anak buah yang lain dengan sangat baik. Bukan hanya dengan famili malah dengan sesiapa pun. Dia sangat baik. Dia seorang yang penyayang, sangat penyabar, kelakar, soft spoken dan sangat la handal memasak. Pak Long mengajar Aku banyak perkara sewaktu duduk bersama Atuk & Nenek. Terlalu banyak untuk dikenang. Terkesan dalam diri Aku sehingga ke hari ni..

Dulu.. Pak Long akan bercerita pada Aku sebelum tidur.  Bercerita tentang sejarah keluarga dan keturunan. Tentang kampung halaman dan moyang terdahulu. Tentang Pak Long dan adik beradik sewaktu kecil. Tentang kehidupan zaman penjajahan. Tentang pengalamannya memasak di kem tentera. Tentang orang-orang alim dan warak. Ahhhh terlalu banyak untuk Aku nukilkan disini. Bermacam-macam kisah. Dia sentiasa bercerita dalam lingkunan kisah tu walaupun Aku masih kecil untuk memahami cerita-cerita tu. Masa berlalu, banyak kisah yang Aku pun dah lupa..

Pak Long adalah orang pertama yang mengajar Aku memasak. Masakan yang simple sesuai dengan usia Aku ketika tu. Setiap kali balik kerja dia pasti belikan sesuatu untuk Aku. Tak pernah lupa. Paling tidak pun gula-gula susu kesukaan Aku. Antara yang Aku tak boleh lupa, Pak Long bawa balik arnab yang dia sendiri panggang untuk Aku. Sedappp sangat! Itu pertama kali aku makan arnab. Sesekali Pak Long bawa Aku ke rumah kehet - rumah papan kecil 1 bilik tempat Pak Long, Emak dan adik-beradik membesar. Adakalanya Aku bosan di rumah, Pak Long akan bawa Aku bersama pergi kerja. Bila ada kelapangan atau hujung minggu Pak Long pasti bawa Aku mandi sungai atau memancing sekitar Kuala Kubu Bharu. Hatta pergi melepak kedai kopi dengan kawan-kawan pun Pak Long akan bawa Aku. Sebak bila menggamit semua memori tu. Menerbitkan rasa rindu pada waktu dulu..

Sebahagian kehidupan Aku diwarnai Pak Long. Dari kecil sehingga besar. Pak Long tetap Pak Long yang sama  seperti ketika Aku kecil dulu. Aku tetap dapat bermanja dengan Pak Long. Tetap mendapat layanan yang sama seperti ketika Aku masih kecil dulu. Cumanya.. seiring masa berlalu, sejak Atuk & Nenek meninggal dan Aku semakin membesar, Aku tak lagi balik kampung bila cuti sekolah dan jarang berjumpa Pak Long. Sesekali Aku dan adik-adik akan ziarah Pak Long. Adakalanya kami bersua bila ada kenduri kendara. Yang pasti setiap kali Aidilfitri pasti berjumpa Pak Long. 

_________________________________________________________________________________________


#Epilog

Beberapa tahun ni Pak Long kerap jatuh sakit dan pulih semula. Beberapa kali Pak Long dimasukkan ke hospital. Bila berpeluang jumpa dengan Pak Long, pasti diminta Aku mengurut kaki dan belakangnya yang lenguh sakit. Pak Long tak selincah dulu. Tak banyak bercakap atau bercerita macam dulu. Hanya senyuman yang sentiasa terukir di bibir. Kali terakhir Aku berjumpa Pak Long sewaktu di majlis kahwin cucunya Shakila - 28 Februari 2017.  Pak Long sukar berdiri. Bertongkat. Terketar-ketar. Namun Pak Long sempat pergi umrah bersama anak, menantu, adik dan anak-anak buah sebelum jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital sekali lagi.

Seminggu selepas keluar wad dari ICU, Pak Long pergi mengadap Ilahi. Pak Long pergi dengan tenang, mudah. Sayu dan sebak disaat Pak Long hembuskan nafas terakhir. Pak Long pandang adik-adik, anak dan cucu yang ada dengannya ketika tu. Pak Long pegang tangan Mak Su dan letakkan atas dada Pak Long dan hembuskan nafas yang terakhir. Alhamdulillah, tanpa kesulitan. Jenazah Pak Long dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Kubu Road berdekatan pusara Atuk & Nenek. Aku akan merindui Pak Long. Al-Fathihah..


No comments :

;